Menjelang cuti umum sempena “Hari Pekerja” bermula Khamis ini, Satria juga tidak ketinggalan untuk menyediakan itinerari pelancongan untuk memanfaatkan cuti panjang ini di China.
Namun, apa yang menarik perhatian Satria apabila terdapat agensi pelancongan yang menawarkan potongan harga sekiranya berat badan sepasang suami isteri di bawah 150 kilogram (kg). Difahamkan, promosi tersebut bagi menggalakkan kempen mengawal berat badan yang dilaksanakan kerajaan China kebelakangan ini.
Berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap trend semasa, lebih 70.5% golongan dewasa dan 31.8% golongan kanak-kanak dijangka mempunyai berat badan melebihi kadar standard menjelang tahun 2030.
Laporan berhubung trend tersebut amat mengejutkan kerana ketika Satria masih kecil, masalah yang dihadapi oleh rakyat China berkaitan dengan kekurangan pemakanan. Bagaimanapun, keadaan tersebut berbeza ketika ini apabila rakyat China telah pun berdepan dengan masalah kegemukan atau obesiti.
Situasi berkenaan mungkin dipengaruhi dengan perkembangan ekonomi yang semakin pesat di negara “Tembok Besar” ini, namun obesiti dalam kalangan rakyat tidak boleh dipandang enteng kerana ia berkaitan isu kesihatan.
Jika dilihat menerusi perspektif yang lebih menyeluruh, obesiti tidak sekadar menjejaskan kesihatan individu, malah memberi kesan kepada kesihatan awam. Ini kerana obesiti merupakan punca kepada pelbagai penyakit dan masalah kesihatan seperti diabetes, penyakit jantung, tekanan darah tinggi serta berisiko menghadapi kanser.
Bahkan, jika tidak ditangani secara tuntas, obesiti juga dilihat memberi tekanan yang amat besar kepada sistem perkhidmatan kesihatan di China.
Selain itu, obesiti juga akan menyaksikan kos perubatan dijangka meningkat sebanyak RMB418 bilion menjelang tahun 2030, iaitu kira-kira 21.5% daripada peruntukan belanjawan negara.
Bukan itu sahaja, obesiti turut memberi kesan negatif terhadap pembangunan sosioekonomi. Bayangkan, jika 70.5% daripada tenaga kerja mempunyai berat badan berlebihan, sudah pasti kecekapan operasi negara turut akan terjejas.
Maka, tidak menghairankan apabila jabatan kesihatan, pendidikan, sukan dan pelbagai agensi di China, masing-masing telah mengeluarkan dasar bagi menyeru orang ramai untuk mengamalkan cara hidup yang lebih sihat sebagai usaha mengawal berat badan, sekali gus menangani isu obesiti dalam kalangan rakyat di negra ini.
Masih segar dalam ingatan semasa Satria di bangku sekolah, kebiasaanya terdapat tiga kali aktiviti sukan dalam tempoh seminggu. Namun, berbeza pada masa kini apabila si kecil yang ketika ini berada di sekolah rendah, melakukan aktiviti sukan selama lebih sejam setiap hari.
Satria juga memasukkan si kecil ke kelas badminton selama dua jam pada setiap Sabtu di luar sesi persekolahan agar kekal aktif bagi menggalakkan cara hidup yang lebih sihat pada usia muda, ibarat pepatah Melayu “Melentur buluh biar dari rebungnya”.
Golongan dewasa di China pula, kini dilihat semakin mementingkan penjagaan kesihatan termasuk mengawal berat badan. Malah, banyak syarikat besar di China juga telah menyediakan pelbagai kemudahan bagi tujuan tersebut termasuk gimnasium dan jurulatih profesional untuk para pekerja.
Bukan itu sahaja, bersenam di gimnasium, latihan yoga, pilates, larian maraton dan pelbagai bentuk senaman telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup sihat yang diamalkan oleh kebanyakan orang di China pada masa ini.
Perkembangan teknologi yang serba canggih juga telah menyaksikan pelbagai alat mudah pakai seperti jam elektronik berupaya memantau keadaan kesihatan dalam kehidupan harian, sekali gus mendorong penjagaan kesihatan yang lebih berkualiti.